13 Februari 2026 – Alhamdulillah, satu lagi langkah bermakna telah direalisasikan apabila Yayayee Gadget secara rasmi menjalinkan Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Persatuan Penduduk Taman Daya Maju, Meru sebagai tanda komitmen bersama dalam memperkasa kemudahan dan kesejahteraan komuniti setempat.


Melalui kerjasama ini, pihak Yayayee Gadget akan menyumbang pembinaan sebuah tandas di taman permainan Taman Daya Maju, Meru bagi kegunaan penduduk sekitar. Kemudahan ini amat penting khususnya untuk keluarga yang membawa anak-anak bermain, peserta aktiviti riadah, serta komuniti yang menjalankan pelbagai program di kawasan tersebut. Dengan adanya tandas yang lebih teratur dan selesa, aktiviti komuniti dapat dijalankan dengan lebih lancar dan kondusif.


Persatuan Penduduk Taman Daya Maju, Meru merupakan antara persatuan yang aktif menganjurkan pelbagai program bermanfaat untuk masyarakat, termasuk kelas latihan seni persilatan Melayu serta aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan gotong-royong yang sering diadakan di taman permainan berkenaan. Justeru, pembinaan tandas ini dilihat sebagai satu penambahbaikan yang signifikan dalam menyokong keperluan komuniti yang semakin berkembang.


Selain sumbangan pembinaan tandas, pihak Yayayee Gadget turut komited untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dewan, pembersihan parit serta pembaikan pagar di kawasan taman permainan tersebut. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami dalam memastikan persekitaran komuniti sentiasa berada dalam keadaan bersih, selamat dan selesa untuk semua lapisan masyarakat.


Sebagai sebuah syarikat yang telah bertapak di Meru sejak lebih sedekad lalu, Yayayee Gadget amat menghargai sokongan yang diberikan oleh masyarakat setempat. Kami percaya bahawa kejayaan perniagaan bukan sahaja diukur melalui keuntungan semata-mata, tetapi juga melalui sumbangan kembali kepada komuniti. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami dalam memastikan manfaat perniagaan dapat dikongsi bersama.


Yayayee Gadget merupakan kedai aksesori telefon dan gadget yang turut menyediakan khidmat pembaikan telefon, selain mengeluarkan produk wangian di bawah label Yayayee Secret. Dengan komitmen berterusan terhadap kualiti perkhidmatan dan pembangunan komuniti, kami berharap kerjasama seperti ini dapat menjadi contoh sinergi positif antara perniagaan dan masyarakat setempat.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *